26 Mac 2010

Sajak

Tiada definisi umum tentang puisi moden (sajak). Namun begitu beberapa penyair, pemikir dan ahli cendekiawan mentafsirkan puisi seperti yang berikut:

"Karangan berangkap khas dipakai untuk idea yang baik, bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara tersebut akan menjadi bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya"
(Za'aba 1962: 218)

"... bentuk pengucapan bahasa dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari"
(Harun Mat Piah 1989:1)

Ciri-ciri umum sajak :
  • Puisi moden Melayu
  • Sajak mengandungi pemikiran, pandangan hidup dan beberapa aspek kehidupan
  • Bebas dan tidak terikat bentuknya namun ada juga sajak yang terikat bentuknya
Sajak biasanya disampaikan dalam bentuk bertulis atau berimej dan ia dapat dihayati, dilihat dan didengar. Sajak dapat membina imej mengikut fahaman penulis dan audien. Oleh itu sajak boleh dikenali imejnya secara luaran (bentuk) atau aspek dalaman (isi dan mesej).


Sajak Terikat

Sajak terikat ditentukan oleh jumlah kata, baris, rangkap, bait, dan bunyi pada hujung baris. Jika binaan itu mempunyai keseimbangan, ia disebut sajak terikat. Jenia sajak mengikut bentuk boleh dikategorikan kepada beberpa jenis.

  • Pola 2 baris serangkap (distikhon)
  • Pola 3 baris serangkap (terzina)
  • Pola 4 baris serangkap (kuatren)
  • Pola 5 baris serangkap (quintain)
  • Pola 6 baris serangkap (sextet)
  • Pola 7 baris serangkap (septet)
  • Pola 8 baris serangkap (oktaf)


Sajak Bebas

Teknik penulisan yang tidak mengikut pola tertentu sama ada dari segi jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap dan skema rimanya. Kebanyakan sajak yang dimuatkan dalam teks Komsas ialah sajak bentuk bebas.



Komponen sajak terbahagi kepada beberapa komponen, antaranya:

  • Tema

- Persoalan pokok karya, idea utama atau idea pusat. Pemikiran penyajak dapat dilihat dalam tema, persoalan, mesej, nada dan sikapnya melalui bahasa yang digunakan. Antara tema yang digunakan ialah tema perjuangan, alam, falsafah, ketuhanan dan kemanusiaan.

  • Persoalan

- Perkara atau agenda yang dibicarakan oleh pengarang bagi menguatkan maksud tema dalam sesebuah karya.

  • Gaya Bahasa

- Terdiri daripada dua aspek iaitu unsur bahasa dan unsur bunyi. Unsur bahasa terdiri daripada metafora , simile, personifikasi, hiperbola, simbolik, anafora, epifora, paradoks, dan elepsis.

- Unsur bunyi terdiri daripada aliterasi dan asonansi.

  • Mesej

- Pemikiran atau gagasan yang menjadi sesebuah karya, iaitu perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Mesej boleh disampaikan secara tersurat atau tersirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan